Tuesday, April 17, 2012

Solat Disiplin Kehidupan

Pada solat terdapat cara hidup untuk amalan serta cara hidup yang ada disiplin - yang tentunya menjamin kejayaan hidup dunia dan akhirat.


Imam:
Imam bermaksud pemimpin. 
Imam atau pemimpin mestilah orang Islam. Tidak sah jika bukan Islam, malah haram jika bukan Islam.
Imam atau pemimpin mestilah dari kalangan orang lelaki. Tidak boleh kaum wanita. Kecuali dalam satu jemaah itu tiada lelaki atau ada lelaki tapi tiada yang akil baligh, bolehlah wanita menjadi imam atau pemimpin. Tetapi di zaman sekarang sudah ramai pemimpin dari kalangan wanita. Sudah banyak negara meletakkan wanita sebagai Perdana Menteri mahupun Presiden. Ini menyalahi Disiplin Solat dan membawa kita ke arah kehancuran.
Wanita menjadi pemimpin dalam pertubuhan, organisasi, sekolah, bank dan lain-lain sudah menjadi satu fenomena biasa. Disiplin solat menunjukkan wanita tidak boleh jadi pemimpin walau sebijak mana sekalipun tetapi boleh menjadi penasihat kepada pemimpin lelaki supaya bahtera hidup tidak terpesong, sebagaimana solat wanita yang menjadi makmum boleh menegur kesilapan Imam mengikut tatacara yang ditentukan.




Niat:
Mula solat pastinya dengan niat. Semua perbuatan atau amalan pasti ada niat. Tak kira samada memang dah lama berniat untuk lakukan sesuatu, atau tiba-tiba terniat di hati untuk melakukannya.
Jika melakukan sesuatu tanpa niat, tentunya orang itu tidak siuman atau kanak-kanak kecil yang belum berakal.


Takbirotul-Ihram
Bermula Takbirotul-Ihram bermakna segala apa yang halal dilakukan sebelum solat menjadi haram sehinggalah selesai solat. Tujuannya adalah untuk fokus kepada solat, yang membawa maksud memberi sepenuh tumpuan kepada sebarang kerja yang dilakukan bagi memastikan hasil yang cemerlang serta kejayaan.
Segala yng diharamkan di dalam solat termasuklah berkata-kata, ketawa, sengaja batuk, mengingati perkara-perkara yang telah lepas, merancang perkara-perkara yang ingin dilakukan selepas solat dan lain-lain. Walau sedetik kita mengingati perihal diluar solat, ianya adalah haram dan berdosa. Sebagai hamba Allah yang lemah, janganlah terus beredar apabila selesai solat...luangkan masa untuk beristighfar mohon keampunan di atas kelalaian dan kelemahan kita semasa solat.


Banyakkan kerja, kurangkan berkata-kata
Rukun solat yang perlu kepada berkata-kata hanyalah al-Fatihah dan Tahiyyat-akhir. Perkataan lain semuanya sunat sahaja. Rukun yang lain semuanya melibatkan perbuatan atau amalan seperti rukuk, i'tidal, sujud dan sebagainya. 
Maksud tersirat disebaliknya ialah kita dikehendaki banyakkan buat kerja daripada bercakap. Tetapi sekarang ini orang lebih banyak cakap dari buat kerja, malah kadang-kadang cakap lebih tapi kerja tak jalan.


Buat kerja dulu, cakap kemudian
Setiap pergerakan diikuti dengan lafaz takbir AllahuAkbar. Pastikan rukuk dahulu diikuti dengan takbir. Sujud dahulu dan diikuti dengan takbir. Bukan lafaz dahulu baru perbuatan.
Hikmahnya...buat kerja sampai berhasil, barulah nak berkata-kata atau nak bercerita. Bukan cakap sembang dulu baru nak buat kerja.


25-Jamadil-Awal 1433H

No comments:

Post a Comment